Syarikat AI Amerika, Anthropic, dilaporkan sedang memperketat langkah bagi menghalang akses tidak sah kepada Claude dari China. Tindakan ini dibuat selepas syarikat mengesan semakin banyak organisasi menggunakan pelbagai kaedah seperti pelayan luar negara, anak syarikat di negara lain dan perkhidmatan cloud bagi memintas sekatan penggunaan Claude.
Menurut Anthropic, penggunaan Claude di China sememangnya tidak disokong, dan syarikat kini menambah mekanisme pengesanan baharu seperti semakan corak trafik, lokasi penggunaan dan kaedah pembayaran bagi mengenal pasti cubaan memintas polisi mereka.
Laporan lain turut mendedahkan bahawa Alibaba telah mengarahkan kakitangannya berhenti menggunakan Claude Code selepas Anthropic menambah ciri yang mampu mengesan penggunaan daripada persekitaran berkaitan China. Keputusan ini juga dikaitkan dengan ketegangan yang semakin meningkat antara syarikat AI Amerika dan China berhubung isu keselamatan serta dakwaan penggunaan output AI untuk melatih model pesaing.
Perkembangan ini menunjukkan persaingan AI global kini bukan sekadar berlumba menghasilkan model paling canggih, malah turut melibatkan kawalan teknologi, keselamatan negara dan perlindungan harta intelek. Bagi pembangun di China, ia dijangka mempercepatkan penggunaan model AI tempatan sebagai alternatif kepada Claude.
